Artikel Motivasi, Pembangunan Diri, Kepimpinan & Kemahiran Pengurusan
Sabah, Malaysia Training Provider
Unleashing Growth, Mastering Challenges:
UGMC is your catalyst for success!
7 Langkah Meningkatkan Keyakinan Diri
Oleh Taidin Suhaimin
Kebolehan anda mengatasi halangan dalam kehidupan banyak dipengaruhi oleh keyakinan diri. Ini bermakna, semakin yakin anda terhadap diri sendiri, insya-Allah, semakin besar peluang anda untuk berjaya.
Keyakinan ialah kepercayaan yang tidak berbelah bagi, manakala keyakinan diri ialah kepercayaan bahawa anda mampu mengendalikan setiap cabaran yang dihadapi dengan jayanya.
Artikel motivasi bertajuk Meningkatkan Keyakinan Diri ini memaparkan tujuh langkah atau cara berkesan untuk meningkatkan tahap keyakinan diri anda.
1. Bina Prinsip-prinsip Hidup yang Mantap
Prinsip hidup atau pendirian amat penting dalam kehidupan. Lebih mantap prinsip hidup anda, lebih yakin dan berjaya anda melangsungkan kehidupan anda.
Apakah prinsip-prinsip hidup anda ketika ini?
Apakah prinsip-prinsip hidup anda itu cukup memandu dan membantu anda pada saat-saat paling mencabar?
Berikut ini adalah beberapa contoh prinsip hidup yang mantap:
Menghadapi setiap cabaran dengan tenang.
Mengambil hikmat daripada cabaran yang dihadapi.
Mengendali cabaran dengan penuh ketabahan dan keyakinan.
Memupuk sikap positif.
Memberi tumpuan sepenuh hati terhadap tugas di tangan tanpa risaukan kerja-kerja lain atau kenaikan pangkat.
Memohon keredaan yang maha esa.
Merancang kerja esok, hari ini.
2. Tetapkan Matlamat Hidup yang Jelas
Matlamat-matlamat hidup adalah antara elemen-elemen utama yang memantapkan keyakinan diri seseorang. Seseorang yang tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas akan seolah-olah meniti kehidupannya dalam keadaan samar yang tidak pasti akan ke mana arah dan tujuan kehidupannya.
Oleh itu, tetapkanlah matlamat-matlamat hidup anda agar anda mempunyai hala tuju yang mantap dalam kehidupan. Dengan hala tuju yang mantap dan jelas, anda akan lebih yakin serta berjaya melayari kehidupan anda.
3. Bina Pelan Tindakan Jitu Mencapai Matlamat
Mempunyai pelan tindakan yang jitu untuk mencapai matlamat-matlamat yang telah anda tetapkan amat penting. Dengan pelan tindakan yang mantap, keyakinan diri anda akan menjadi lebih teguh untuk mencapai matlamat serta kejayaan yang anda telah tetapkan.
4. Lipat Gandakan Ilmu Pengetahuan Anda
Ilmu pengetahuan adalah antara elemen utama untuk pembangunan dan keyakinan diri.
Dengan meningkatkan tahap ilmu pengetahuan anda khususnya dalam perkara-perkara yang anda perlu ketahui dan kuasai, anda dengan sendirinya melakukan sesuatu yang mengarah kepada peningkatan keyakinan dan kejayaan diri anda.
Amalan membaca buku-buku, menghadiri kursus-kursus atau seminar-seminar tertentu adalah antara langkah-langkah berkesan yang boleh membantu melipat gandakan ilmu pengetahuan anda.
5. Lipat Gandakan Kemahiran-kemahiran Anda
Kemahiran-kemahiran juga adalah antara sumber-sumber utama pembangunan diri. Seseorang yang kurang kemahiran, sudah pasti akan kurang, malah mungkin tidak yakin atau tidak mampu melaksanakan sesuatu tugas yang diberikan kepadanya dengan jayanya.
Dengan sentiasa meningkatkan tahap kemahiran khususnya dalam perkara-perkara yang anda perlu kuasai, anda dengan sendirinya mengarah kepada peningkatan keyakinan diri anda.
6. Mantapkan Kualiti Kesihatan Diri Anda
Kesihatan diri amat penting serta mempunyai pengaruh yang besar terhadap keyakinan diri seseorang. Seseorang yang kesihatan dirinya kurang memuaskan; badannya akan menjadi lemah dan fikirannya menjadi kusut. Hal ini sudah tentunya akan menjejaskan keyakinan dirinya.
Seseorang yang kesihatan dirinya memuaskan, sudah tentu badan serta mindanya lebih cergas dan cerdas. Ini dengan sendirinya akan menjadikannya lebih bermaya dan meningkatkan keyakinan dirinya.
Menjaga kualiti pemakanan, tidur atau rehat secukupnya (7-8) jam setiap hari, mengamalkan senaman setiap hari (3 - 30 minit) serta mendapat rawatan yang sewajarnya apabila perlu adalah antara perkara-perkara yang penting untuk memastikan tahap kesihatan diri anda sentiasa dalam keadaan terbaik.
Usaha memantapkan keyakinan diri perlu seiring dengan usaha memantapkan kesihatan diri.
7. Mantapkan Kualiti Penampilan Diri Anda
Menjaga keterampilan diri juga bermakna anda menjaga kesihatan diri, kebersihan serta kekemasan diri, tempat kerja, rumah, kenderaan dan sebagainya.
Sudah pastilah seseorang yang dapat menampilkan imej dirinya yang terbaik akan lebih yakin diri.
Kesimpulan
Anda adalah peneraju kejayaan diri anda sendiri! Orang lain tidak akan yakin terhadap diri anda jika anda sendiri tidak yakin pada diri anda.
Meningkatkan keyakinan diri memerlukan anda membina serta memantapkan prinsip-prinsip hidup anda, selari dengan langkah-langkah yang telah digariskan dalam artikel motivasi ini.
Dengan pengalaman luas dalam Kemahiran Kepimpinan Diri, Pengurusan, dan Komunikasi Interpersonal, beliau telah menyampaikan program latihan dan ceramah kepada ribuan peserta dari lebih 250 organisasi di Asia Tenggara dan Timur Tengah sejak tahun 1994.
"Jika anda mendengar suara dalam diri anda yang berkata "anda tidak boleh melukis," dengan segala cara usaha yang anda yakin boleh melukis, suara itu akan senyap." - Vincent Van Gogh